Sunday, May 3, 2009

Wabak dunia masa kini.....Selesema Sepanyol vs Selesema Babi??? Sedikit Info...

Forwaded Email

Oleh Anida Salwani Abdul Hadi

ANGKA kematian akibat jangkitan virus H5N1 atau lebih dikenali sebagai selesema burung makin meningkat saban hari. Sehingga kelmarin, ia meragut mangsa ke-11 di Thailand iaitu seorang budak perempuan berusia lapan tahun.

Pegawai kesihatan di negara itu dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerap kali mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan virus maut yang berjangkit melalui ayam atau itik kepada manusia.

Setakat ini, sebaran hanya membabitkan sekitar Asia dengan terkini, tertumpu pada negara terdekat kita, Thailand.

Lebih membimbangkan, ada kemungkinan pesakitnya mampu menyebarkan virus sesama manusia dan belum ada ubatnya. Kecil atau besar kebarangkalian itu, belum ada faktanya.

Dalam laporan harian berkenaan, terselit pula perbandingan keadaan sekarang dengan wabak besar selesema melanda dunia pada 1918 selama 18 bulan sehingga menyebabkan kira-kira 40 juta orang atau satu perlima penduduk dunia direkodkan maut. Jumlah itu juga dipercayai jauh lebih tinggi.

Pegawai kesihatan hari ini bimbang, wabak terburuk dunia berkenaan mungkin berulang sama ada dalam bentuk berlainan atau yang sama.

Ia dikenali sebagai selesema Sepanyol atau La Gripe dan dikatakan lebih dahsyat daripada sebaran Black Plague atau Aids dalam sejarah manusia.

Ketika itu, Perang Dunia Pertama sedang berlaku. Negara askar bersekutu menggelarnya Selesema Sepanyol kerana jangkitan banyak tertumpu pada negara dengan lapan juta kematian dilaporkan terutama pada bulan Mei 1918.

Kebanyakan tanda awal penyakit sama seperti jangkitan virus selesema biasa seperti sakit tekak, pening kepala, rasa khayal dan hilang selera makan. Ia juga mampu menjangkiti sesama manusia.

Antara laporan awal serangan penyakit itu berlaku di Fort Riley, Kansas di Amerika Syarikat pada 11 Mac 1918.

Tukang masak tentera, Albert Gitchell dimasukkan ke klinik dengan suhu badan mencecah 39.44 darjah Celsius. Menyusulinya, Korporal Lee Drake dan Sarjan Adolph Hurby.

Dua hari kemudian, seramai 522 lelaki di kem berkenaan sakit dan keadaan makin buruk ketika musim panas.

Pada Ogos 1918, lebih banyak jangkitan dikesan di tiga lokasi lain iaitu Brest, Boston dan Freetown dan mangsanya membabitkan askar sama ada di medan perang atau di kem tentera, terutama yang terletak jauh dari kemudahan.

Serangan buruk memerlukan pesakit dirawat di hospital tetapi walaupun diberikan jagaan rapi, satu pertiga mangsa yang biasanya muda antara usia 20 sehingga 40 tahun dan sihat dilihat meninggal dunia.

Bayangkan, anda yang sihat wal’afiat secara tiba-tiba jatuh sakit dan esoknya, menghembuskan nafas terakhir. Atau ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, dijangkiti selesema itu kemudian meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Seorang pakar perubatan mendakwa, pesakitnya disangka menghidap selesema biasa tetapi ia berkembang kepada pneumonia (radang paru-paru) yang teruk dan kemudian pesakit dilihat termengah-mengah menyedut udara sebelum mati kelemasan.

Seorang pakar yang lain pula berkata, pesakit sebenarnya mati kerana saluran udara iaitu hidung dan mulut tersumbat akibat darah yang tiba-tiba keluar.

Ramai pegawai perubatan ketika itu tidak mampu melakukan apa-apa bagi melawan agen selesema berkenaan. Itulah yang terjadi lebih 80 tahun lalu.

Wabak selesema Sepanyol itu terus merebak ke seluruh dunia termasuk ke Amerika Utara, Eropah, Asia, Afrika, Brazil dan Pasifik Selatan.

Dalam tempoh enam bulan, seramai 28 juta orang terbunuh malah ada yang mendakwa jumlah sebenar membabitkan dua kali ganda.

Di Amerika saja, seramai 28 peratus rakyatnya dijangkiti dengan lebih setengah juta orang mati. Jumlah berkenaan 10 kali ganda lebih tinggi daripada mangsa yang maut dalam peperangan.

Lagi 200,000 yang lain membabitkan rakyat Britain.

Kesan wabak itu di Amerika amatlah dahsyat sehinggakan pusingan hidup rakyatnya terbantut selama 10 tahun.

Malah, Presiden Woodrow Wilson sendiri dijangkiti pada awal 1919 ketika sedang merundingkan perjanjian Versailles untuk menamatkan peperangan.

Seorang doktor di Detroit, Dr T Francis sempat menulis surat kepada rakan sekerjanya untuk menceritakan pengalaman merawat askar yang dijangkiti selesema tidak diketahui itu.

“Askar yang dihantar ke sini pada mulanya mempunyai tanda selesema biasa. Dua jam kemudian mereka mempunyai bintik warna merah tua pada tulang pipi dan beberapa jam kemudian menunjukkan sianosis (perubahan warna kulit yang kebiruan akibat kekurangan oksigen dalam darah) yang merebak dari telinga ke seluruh muka, sehingga sukar untuk membezakan lelaki kulit putih mahupun hitam.

“Beberapa jam kemudian, maut mula menyelubungi mangsa dan memang menyedihkan melihat mereka seakan-akan lemas. Pada mulanya, melihat 20 atau 30 pesakit mati boleh diterima tetapi kini, purata kematian meningkat sehingga 100 orang sehari.

“Saya pasti, ia jangkitan jenis baru tetapi jenis apa, saya tidak tahu,” katanya.

Lebih menakutkan, wabak selesema maut itu pernah dicatatkan sejarah menghapuskan seluruh masyarakat di beberapa negara. Satu-satunya tempat yang tidak mempunyai jangkitan berkenaan adalah di Pulau Marajo, di bibir Sungai Amazon, Brazil, kerana ia tidak berpenghuni.

Di India, kira-kira 50 daripada 1,000 orang meninggal dunia kerana selesema itu.

Pada 1918 turut menyaksikan penduduk dunia kurang berhibur bukan saja disebabkan peperangan tetapi orang ramai takut dijangkiti virus maut berkenaan.

Kebanyakan teater, dewan tari-menari dan kawasan penduduk berkumpul ditutup sehingga setahun lamanya.

Pada masa sama, ada tempat melaporkan mereka kekurangan pekerja kesihatan untuk menjaga pesakit apatah lagi penjaga kubur untuk menanam si mati.

Punca sebarannya sehingga kini tidak dapat dipastikan, tetapi banyak spekulasi yang muncul termasuk sangkaan bahawa Jerman melancarkan alat perang biologi ciptaannya.

Yang lain pula berpendapat, ia kesan perang parit berikutan askar Perang Dunia Pertama mengorek longkang kecil untuk dijadikan kubu dan di situlah kehidupan di medan perang banyak dihabiskan.

Selain itu, ada teori mengatakan ia berpunca daripada asap bom gas digunakan ketika perang.

Baru-baru ini, seorang wanita berusia 98 tahun, Jessie Lee Brown Foveaux dari Manhattan menceritakan pengalamannya melalui zaman genting berkenaan.

“Kami kehilangan ramai pesakit. Bilangan yang masuk ke hospital bertambah dengan cepat dan dalam keadaan marah.

“Pernah beberapa kali pesakit pulang ke rumah kerana masih tidak rasa sihat ketika dirawat. Sedar-sedar saja mereka sudah meninggal dunia. Setiap hari kami terfikir, siapa pula akan pergi,” katanya yang berusia 18 tahun ketika wabak itu tersebar dan bekerja di dobi Fort Riley, antara kawasan awal jangkitan selesema Sepanyol.

Hari ini, dunia sedang menyaksikan selesema burung tersebar tanpa mengetahui sejauh mana kesannya pada penduduk bumi.

Bagaimanapun, dengan kecanggihan dunia perubatan sekarang, ramai saintis berlumba-lumba mencari jawapan jangkitan terbaru itu dan cara terbaik adalah membuat perbandingan dengan sebaran wabak 1918 berkenaan.

Menurut laporan akhbar The Age baru-baru ini, penyelidik perubatan berjaya membuka rahsia selesema Sepanyol itu.

Perubahan ketara yang diketahui apabila virus selesema berkenaan mengubah struktur permukaannya sehingga ia mampu menjangkiti bukan saja spesies burung, malah manusia.

Sepasukan saintis Britain berkata, bentuk tiga dimensi virus 1918 mempunyai senjata paling berkesan iaitu kandungan protin yang bertompok pada permukaannya bagi membolehkannya menakluki sel.

Sel hemagglutinins (HA) yang berpaku melekat pada molekul reseptor permukaan sel dalam paru-paru. Sehingga kini, tidak diketahui asal usul protein terbabit.

Sir John Skehel dan rakan sekerjanya di Institut Penyelidikan Perubatan di Majlis Kajian Perubatan, tempat sama virus itu dikenali pada 1933, mengkaji bahan genetik daripada sampel mangsa selesema Sepanyol di Amerika.

Dengan menggunakan teknik Sinar-X Kristalografi, mereka dapat melihat struktur HA dan bagaimana ia melalui proses mutasi.

Manusia dan virus avian HA biasanya berinteraksi dengan sel reseptor yang berlainan sekali gus sepatutnya menyukarkan selesema burung menjangkiti manusia.

Bagaimanapun, HA bagi virus selesema Sepanyol itu sudah berubah menyebabkannya mudah melekat pada sama ada sel burung mahupun manusia dan memudahkan jangkitan sesama manusia.

Berikutan sistem imunisasi tidak dapat membiasakan diri dengan selesema burung sehingga meragut nyawa, seramai 70 peratus mangsa di beberapa negara termasuk mereka berusia 15 sehingga 34 tahun terbunuh.

Sir John yang penemuannya dilaporkan dalam jurnal Science berkata: “Laporan ini penting kerana maklumatnya mengenai cara virus yang berasal dari burung itu boleh melompat ke manusia.

“Ia membolehkan kita menjejaki perubahan pada virus untuk tujuan kesihatan awam walaupun ia tidak membolehkan kita meramal atau mengekang bentuk selesema lain di masa depan.”

Sekumpulan pakar Amerika yang turut menyumbang kepada laporan jurnal Science dan diketuai Profesor Ian Wilson dari Institut Penyelidikan Scripps di San Diego, California berjaya menentukan struktur protin yang membentuk HA.

Mereka menemui bukti bagaimana molekul itu dibentuk untuk berinteraksi dengan protin dalam sel manusia.

“Ia seakan-akan virus avian dengan identiti kemanusiaan,” katanya.

Bagaimanapun, mereka menolak dakwaan selesema burung yang melanda Thailand, Vietnam dan China hari ini serupa seperti selesema Sepanyol kerana virus burung berkenaan mempunyai hemagglutinin H5, manakala epidemik 1918 jenis H1.

Bagi wabak terbaru melanda kebanyakan negara Asia itu, rawatan terbaik yang boleh diberikan adalah suntikan vaksin atau membunuh ayam dan itik ternakan sebagai langkah pencegahan.

Seorang pakar patologi untuk tentera Amerika, Jeffery Taubenberger berkata, tidak dapat dipastikan sama ada penyakit terbaru ini ada kaitan dengan wabak besar lampau.

“Tetapi, jika kita lihat catatan sejarah, sesuatu wabak besar muncul setiap 30 tahun dengan yang terakhir pada 1968.

“Kita tidak boleh meramalkan masa depan tetapi kemungkinan berlakunya wabak baru memang ada kerana ia pernah berlaku.

“Apatah lagi kita terdedah pada amalan pertanian yang lebih maju dan kita tinggal dekat dengan ladang ternakan menyebabkan penyakit yang biasanya ditemui pada haiwan mula menjangkiti manusia,” katanya.

Pada 1918, Perang Dunia Pertama dipercayai memainkan peranan sebaran penyakit maut sehingga jumlah kematian lebih tinggi daripada mangsa di medan perang.

Tidak mustahil krisis di Iraq, Afghanistan, Pakistan dan beberapa kawasan lain di dunia yang dikatakan mukadimah satu lagi perang dunia disusuli satu lagi wabak maut yang bakal menyaksikan ramai penduduk dunia terkorban.

 

 

Selesema Babi Atau Swine Flu

ABSTRAK

Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO) pada 24 April 2009 telah mengisytiharkan krisis kecemasan kesihatan antarabangsa ekoran merebaknya wabak Selesema Babi atau Swine Flu bagi memberi amaran wabak yang dianggap makin mencemaskan dan berpotensi untuk menjadi pusat ‘pandemik’ atau wabak yang akan merebak.  Selesema babi yang disebarkan oleh manusia ini telah mencetuskan keadaan panik di seluruh dunia terutamanya di Mexico dan Amerika Syarikat (AS). Wabak ini telah mengorbankan 103 orang di Mexico dan menjangkiti 1500 orang di seluruh dunia. Jumlah kematian dan mereka yang dijangkiti meningkat dari semasa ke semasa dan amat dikhuatiri merebak ke Negara ini.


PENGENALAN

Demam selesema babi  adalah sejenis penyakit sistem pernafasan (respiratory) yang biasanya ditemui dalam kawanan babi. Ianya disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Virus demam babi ini biasanya berlegar dalam spesies babi sahaja dan tidak menjangkiti manusia. Namun jangkitan terhadap manusia telah berlaku dan penyebaran virus ini dalam kalangan manusia telah mula dikesan sejak tahun 1988.

Virus selsema babi yang dilihat menerusi microskop


Apakah Selesema Babi?

Selesema babi adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.


Adakah Terdapat Jangkitan Demam Babi di US?

Pada akhir Mac dan awal April 2009, beberapa kes jangkitan virus  ini (H1N1) terhadap manusia telah dilaporkan di Southern California berdekatan San Antonio, Texas. Beberapa negeri lain di US juga telah melaporkan jangkitan yang sama pada manusia dan juga telah dilaporkan di peringkat antarabangsa.

(Perkembangan terkini mengesahkan bilangan jangkitan virus di Amerika Syarikat boleh di dapati di http://www.cdc.gov/swineflu/investigation.htm. Pusat pencegahan dan kawalan penyakit (CDC - Centers for diseases control and prevention dan Jabatan serta agensi kesihatan sedang bekerjasama dalam menyiasat situasi ini)).


Adakah Virus Ini Berjangkit?

CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun  masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.

Apakah Tanda-tanda dan Simptom Demam Babi Terhadap Manusia?

Simptom selesema babi ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.

Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.


Bagaimanakah Selesema Burung Merebak?

Virus jenis A (H1N1) selesema burung ini dijangka akan merebak seperti mana virus selesema bermusim lain. Virus selesema ini biasanya disebarkan dari seorang ke seorang yang lain melalui batuk dan bersin mereka yang terkena jangkitan. Kadang-kadang seseorang itu boleh dijangkiti melalui barang yang disentuh dengan tangan dan kemudiannya menyentuh mulut dan hidung mereka.


Bagaimanakah Seseorang Yang Dijangkiti Selesema Menjangkiti Seorang Lain?

Seseorang yang dijangkiti mungkin boleh menjangkiti seorang lain  bermula sehari sebelum simptom itu merebak hingga ke hari ke-7 selepas dijangkiti (sakit). Ini bermakna kita mungkin boleh menyebarkan virus ini sebelum mengetahui yang kita telah dijangkiti.


Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema? 

Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat.  Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.

Adakah Terdapat Ubat Untuk Selesema Babi Ini? 

CDC menyarankan pengambilan ubat seperti oseltamivir atau zanamivir untuk merawat dan/atau mencegah jangkitan virus selesema babi ini.  Ubat antiviral adalah ubat-ubatan berpreskripsi (pil, cecair ataupun ubat sedut) yang melawan virus dari terus membiak di dalam badan anda.

Jika anda jatuh sakit, ubat antiviral akan dapat melegakan  dan membuat anda sihat dengan lebih cepat. Ia juga dapat mencegah dari komplikasi selesema yang lebih serius. . Untuk tujuan rawatan, ubat antiviral adalah lebih berkesan untuk diambil sebaik sahaja jatuh sakit (dalam dua hari selepas simptom).

Berapa Lama yang Diambil oleh Seseorang yang Dijangkiti dengan Selesema Burung Untuk Menyebarkan Kepada Orang Lain?

Mereka yang dijangkiti dengan virus ini boleh dikira sebagai pembawa virus selagi mereka di dalam simptom sehingga tujuh hari dari bermula sakit. Kanak-kanak, terutama anak-anak kecil berpotensi untuk dijangkiti untuk jangka masa yang lebih lama.

Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?

Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.

Berapa Lama Virus Tersebut Boleh Hidup Di Luar Badan? 

Seperti yang diketahui sesetengah virus dan dapat hidup sehingga lebih dua jam di permukaan seperti meja kafeteria, tombol pintu dan meja. Membasuh tangan dengan kerap akan mengurangkan kesan pencemaran yang didapati dari permukaan-permukaan ini.

Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?

Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:
• Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.
• Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.
• Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.
• Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.

Apakah Cara Terbaik Untuk Mengelak Dari Menyebarkan Virus Melalui Batuk Dan Bersin?

• Jika anda sakit, hadkan pergaulan anda sebaik yang mungkin. 
• Jangan pergi ke sekolah;
• Tutup mulut anda dengan tisu semasa batuk dan bersin. Ia boleh membantu mengelak orang-orang di sekeliling kamu dari jatuh sakit;
• Buangkan tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah;
• Tutup mulut anda semasa bersin dan batuk jika tiada tisu;
• Basuhlah tangan kamu setiap kali batuk dan bersin.


Apakah Teknik Terbaik Untuk Mencuci Tangan Dan Mengelak Dari Jangkitan Selesema?

Membasuh tangan dengan kerap akan membantu melindungi anda daripada kuman. Basuhlah dengan sabun dan air ataupun pembersih tangan berasaskan alcohol. Basuhlah tangan antara 15 ke 20 saat dengan air suam dan sabun. Jika tiada air dan sabun, tisu pakai buang berasaskan alcohol atau pembersih gel boleh digunakan. Ianya boleh didapati di kedai-kedai ubat dan pasar raya. Jika menggunakan gel, sapulah tangan anda sehingga gel itu kering. Alkohol di dalam gel tadi akan membunuh kuman dan ianya tidak memerlukan air untuk berkesan.


Apa Yang Perlu Saya Lakukan Jika Jatuh Sakit?

Jika anda tinggal di kawasan yang dikenal pasti wabak (selesema babi) itu merebak dan mempunyai simptom-simptom demam selesema termasuk demam panas, sakit badan, selesema, sakit tekak, muntah mual dan cirit-birit, anda perlu berjumpa dengan doktor, terutamanya jika anda risau tentang simptom-simptom tadi. Doktor akan mengesahkan sama ada sebarang ujian atau rawatan adalah perlu.

Jika anda sakit anda perlu:-

• Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;
• Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit;

Untuk kanak-kanak tanda-tanda dan perlu dibawa untuk dirawat adalah seperti berikut:-

• Kesukaran bernafas dan pernafasan yang terlalu cepat;
• Warna kulit bertukar kebiru-biruan;
• Tidak minum air yang secukupnya;
• Tidak bangun dan berinteraksi;
• Tidak suka dipegang dan asyik merengek;
• Simptom seperti selesema dan pulih tetapi kemudiannya berulang bersama demam dan batuk yang lebih teruk;
• Demam dan beruam.

Bagaimana Seriusnya Jangkitan Selesema Babi ini?

Seperti demam selesema yang lain, kesan selesema babi pada manusia adalah berbeza dari tahap sederhana ke tahap serius. Antara 2005 hingga Januari 2009, 12 kes jangkitan pada manusia tanpa kematian dikenal pasti di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun kesan dari selesema babi ini boleh menjadi serius. Pada September 1988, seorang wanita mengandung berumur 32 tahun dari Wisconsin dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru akibat selesema babi dan meninggal dunia 8 hari kemudian. Pada tahun 1976, wabak selesema babi dikesan di Fort Dix, New Jersey mengakibatkan lebih 200 kes serius  dan satu kematian. 


Bolehkah Saya Dijangkiti Melalui Memakan Dan Menyediakan Masakan Berasaskan Babi?

• Tidak.
Selesema babi tidak boleh merebak melalui makanan.
Ianya tidak boleh dijangkiti melalui makanan dan produk berasaskan babi. Memakan produk berasaskan babi yang dimasak dan disediakan dengan sempurna.

 TINDAKAN SERTA-MERTA KEMENTERIAN KESIHATAN

• Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan:-


i. Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak swine-flu dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.


ii. Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.


iii. Saringan tanda-tanda jangkitan swine-flu di semua pintu masuk negara untuk pelawat atau warga Malaysia yang ada melawat ke negara Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009.
iv. Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak swine-flu untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.

• Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan pada Sidang Media pada 26 April 2009 mengenai wabak berkenaan amat berbahaya kerana ia tersebar melalui manusia bukannya haiwan seperti selesema burung atau ‘avian flu’ yang pernah melanda negara ini.

• Beliau bagaimanapun meminta rakyat negara ini supaya tidak panik kerana Kerajaan sentiasa berwaspada terhadap apa jua wabak yang boleh menyebabkan kematian.

• Pengawasan itu membabitkan pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai antaranya mereka yang menunjukkan tanda-tanda demam panas.

• Pengawasan di semua pintu masuk negara diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak selesema babi dari merebak ke dalam negara terutama penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS.

• Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak swine-flu ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat atau di laman web Kementerian http://www.moh.gov.my

Sumber : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
• Pusat Pencegahan dan Kawalan Wabak  Amerika   Syarikat (US Centers of Diseases Control and    Prevention)  atau CDC
• Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan  Malaysia
• Akhbar-akhbar Utama

 


 

1 comment:

shinnaz said...

tersangatla panjang die punyer info..apepun tq syg..


p/s: mcm ku kenal info nie..keke..:p