Wednesday, March 25, 2009

TMI bakal dikenali sebagai Axatia

KUALA LUMPUR 24 Mac - TM International Bhd. (TMI) akan dikenali sebagai Axatia mulai pertengahan bulan April ini dalam usahanya memajukan identiti barunya selepas program pemisahan dengan Telekom Malaysia Bhd. (TM) berjaya disempurnakan.

Pengerusi TMI, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, melalui nama baru tersebut, ia akan membayangkan misi, hala tuju, strategi dan transformasi yang dimiliki sebagai syarikat bertaraf antarabangsa yang sebenarnya.

Katanya, penukaran nama tersebut akan membolehkan TMI menjadi syarikat baru daripada segi identiti dan falsafahnya untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pemegang saham dan masyarakat, pembekal serta di kalangan media mengenai nama TM dan TMI.

'' Penukaran nama ini akan dilaksanakan pada pertengahan bulan April tahun ini, tetapi kami mahu menegaskan di sini bahawa pelbagai jenama terkenal kami seperti Celcom, Dialog dan XL masih kekal,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) TMI yang berlangsung lebih daripada lima jam, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMI, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim. Azman menjelaskan berkata, pada EGM hari ini, pemegang sahamnya telah meluluskan pemakaian nama baru itu sebelum dibawa untuk diputuskan oleh lembaga pengarah kumpulan.

Tambah beliau, Axatia dipilih daripada 700 nama yang dicadangkan oleh 20 kumpulan pemasaran dalam kumpulan, tanpa mengandungi sebarang makna yang khusus.

''Dalam pemilihan nama tersebut, kami pernah mencadangkan nama yang berasaskan nama bercirikan Melayu, Malaysia, sanskrit, Arab dan yang lain-lain bagi membayangkan keseluruhan platform pasaran termasuk di luar negara yang kami kuasai sekarang.

''Malah kami telah mendapatkan khidmat nasihat daripada Datuk A. Samad Said untuk membantu kami membuat pemilihan tersebut, jadi hari ini adalah pengumuman awal mengenai nama baru TMI dan ia akan diumumkan dengan lebih lanjut lagi pada pertengahan bulan depan,'' jelasnya.

Azman menerangkan bahawa, TMI akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta hingga RM10 juta bagi program penukaran nama berkenaan.

Selain itu, EGM turut menyaksikan pemegang sahamnya telah meluluskan cadangan terbitan hak untuk memperoleh hasil sebanyak RM5.25 bilion yang mana RM4 bilion daripadanya akan digunakan untuk melunaskan hutang TM.

Mengulas lanjut, Jamaludin berkata, terbitan hak itu akan membenarkan pemegang saham melanggan pada asas beli dahulu saham baru itu dan dalam masa yang sama ia akan mengukuhkan penyata kewangan dan struktur modal TMI.

''Berdasarkan kepada maklum balas daripada pemegang saham, mereka berpendapat bahawa kadar gearan kami yang tinggi telah menjejaskan harga saham kami, oleh itu, melalui terbitan hak tersebut ia akan menjadikan TMI lebih fleksibel dan aktif dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang sukar kini,'' katanya.

Tambah beliau, pemegang saham yang memilih untuk tidak melanggan terbitan hak tersebut, mereka boleh menjual hak masing-masing untuk memperolehi wang tunai di pasaran saham ketika hak itu diniagakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Bagaimanapun, bagi mereka yang bercadang untuk melanggan terbitan hak itu, harganya telah ditetapkan pada harga RM1.12 sesaham berdasarkan kepada asas lima hak saham untuk empat saham TMI sedia ada.

No comments: